Skip to main content

Search Filter

MTE 2024 JADI PEMANGKIN INOVASI DAN TEKNOLOGI NEGARA

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2024 yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula semalam, bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan inovasi dan teknologi di negara ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata menerusi MTE 2024, ia akan memanfaatkan potensi besar Sains, Teknologi, Inovasi dan Pendidikan (STIE) dalam menangani cabaran paling mendesak. 

Beliau berkata kerjasama antara MOSTI dan Kumpulan PROTEMP (PROTEMP) dalam penganjuran ekspo itu, merupakan bukti bahawa cabaran boleh diatasi dengan kerjasama, menggunakan kekuatan kolektif, pengetahuan dan kreativiti. 

“Dari perubahan iklim dan pembangunan lestari ke penjagaan kesihatan dan ekuiti digital, kami percaya bahawa jawapannya terletak pada kuasa inovasi dan usaha mendapatkan ilmu tanpa henti,” katanya ketika merasmikan MTE 2024 di sini, hari ini. 

Ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Aminuddin Hassim. 

Chang berkata MTE juga menunjukkan dedikasi dalam memupuk ekosistem inovasi bertenaga yang menghubungkan antara idea dan pihak komersial, dengan portal MyTechMart sebagai terasnya. “MyTechMart bukan sahaja satu platform, namun penghubung idea kepada pasaran, pencipta kepada pelabur dan kajian kepada aplikasi dunia. Menerusi MyTechMart, kami menciptakan satu standard baharu bagaimana inovasi dipupuk, disokong dan dipercepatkan. 

“Kerjasama ini akan memastikan idea inovasi dapat berpindah dengan mudah daripada satu cadangan kepada pasaran. Dengan berkongsikan data, kami menghilangkan kerja secara sendirian dan mewujudkan satu barisan hadapan untuk mengatasi cabaran dalam mengkomersialkan sesuatu inovasi. Ini satu langkah berani dalam menjadikan Malaysia sebuah hab global untuk teknologi dan inovasi,” katanya. 

Pada majlis itu juga turut berlangsung Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Asia (PSIA) 2024 yang  menyaksikan pelbagai agensi dan organisasi kerajaan meraih anugerah untuk inovasi masing-masing. 

Antara penerima utama Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak, yang memeng Anugerah Emas untuk inovasi Flextervation dan Sistem Pemantauan untuk Survei  Pengambilan Tanah (MOSSLA) mereka, di mana kedua-dua inovasi itu turut dianugerahkan dengan anugerah khas masing-masing daripada Japan Intellectual Property Association dan The International Alliance of Innovation and Invention Associations. 

Penyampaian anugerah disempurnakan Aminuddin. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah (MTE PSIA 2024) Hussein Mohd Ariff dalam ucapannya berkata landskap perkhidmatan awam di Malaysia telah mengalami transformasi yang luar biasa, mencerminkan daya tahan dan kebolehsuaian negara, sejak berlakunya pandemik COVID-19. 

“Dalam tempoh hanya beberapa tahun, kami telah menyaksikan anjakan paradigma terutamanya dalam penyelamatan solusi digital yang bukan sahaja menangani masalah terdekat, tetapi juga menjadikan masyarakat lebih integrasi teknologi.

“Sektor perkhidmatan awam yang dahulunya bergantung kepada kaedah tradisional juga telah mengalami transformasi digital, daripada inisiatif e-tadbir urus kepada penyediaan perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan dalam talian,” katanya. 

 

Source :
BERNAMA 
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2273026